Friday, April 22, 2011

HUKUM MENJUAL BARANG TIRUAN


Soalan yang telah ditanya kepada saya ialah :

Apa hukum menjual dan membeli barangan tiruan kepada jenama-jenamaan yang mempunyai hak cipta terutamanya pakaian, beg kasut dan lain-lain?
Jawapannya

Barangan tiruan adalah barang yang telah diciplak, ditiru dan di copy tanpa izin pencipta dengan jenama yang sama dan pengguna tidak dapat membezakan yang mana original dan yang mana tiruan. Sekarang ini barangan tiruan bersepah dan banyak di pasaraya, pasar malam, kedai borong dan sebagainya.

Barangan tiruan ialah barang yang dicuri reka dari pencipta yang sebenar tanpa izin dan hal ini sama dengan masalah mencuri. Islam melarang umatnya mencuri, kerana mencuri itu adalah haram. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Janganlah seorang dari kamu menjual atas barang jualan orang lain”

Fatwa dari Persatuan Ulamak Fiqh Sedunia dalam masalah ini ialah haram bagi sesiapa yang meniru barangan orang lain tanpa izin dari penciptanya. Barangan yang dimaksudkan di sini ialah barang yang menjadi hak cipta terpelihara.

Orang yang memprodukkan barangan tiruan seolahnya seperti mereka menipu pengguna dengan jenama yang diberikan. Contohnya baju kemeja yang diklon dari jenama yang terkenal tanpa izin dari penciptanya, kemudian produk tersebut dicopkan dengan jenama yang terkenal. Maka perkara ini merupakan penipuan yang nyata dan Islam sangat melarang umatnya menipu sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud :
“Barangsiapa menipu kami, maka bukanlah dari golongan kami”

Masalah curi dan menipu ini sangat jelas dalam Islam dan ia merupakan perkara yang haram dan mungkar. Setiap perkara yang haram itu jelas dan tiada ragu-ragu dan setiap perkara yang halal itu juga jelas dan tiada ragu-ragu. Cari sumber rezeki yang halal dan jauhkan diri dari terlibat dengan perkara yang haram. Kerana rezeki yang haram akan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Rezeki yang haram juga akan membuatkan hati menjadi hitam dan benak untuk melakukan perkara-perkara yang makruf. Hati orang yang makan rezeki yang haram menjadi keras dan susah untuk dibentuk dan ditarbiah.

Carilah rezeki yang halal dengan penat lelah diri sendiri, kerana rezeki yang halal ini walaupun sedikit tetapi ia memperolehi keberkatan dari Allah. Orang yang makan perkara yang halal dan baik, mudah untuk dirinya dan keluarganya untuk mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Bersyukurlah kepada Allah dengan rezeki yang diberikan kepada kita semua. Sesungguhnya Allah telah menentukan rezeki kepada setiap manusia. Kuat doa, usaha dan tawakal maka banyaklah rezeki yang diperolehi oleh kita. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)
“Oleh itu, makanlah (Wahai orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (An-Nahl : 114)

Saturday, April 9, 2011

Awas Air Zamzam Tiruan

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan memang ada air zam-zam yang dijual di negara ini dicampur dengan air telaga dan air bukit.

Menurutnya, tindakan yang tidak bertanggungjawab itu dijalankan oleh pihak-pihak swasta yang mengambil air galian daripada sebuah telaga di Pahang dan air bukit di Hulu Yam, Selangor.

"Saya difahamkan, ada kelompok-kelompok individu yang menjual dan mencampurnya dengan air zam-zam ini. Dalam konteks ini, cukup payah untuk mengenal pasti sebab ia air. Sama warna iaitu putih.

"Sekarang bukan sahaja air zam-zam palsu malah telur pun ada yang tiruan di mana sepatutnya telur ini datang daripada binatang yang bertelur," katanya di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai kebimbangan orang ramai kemungkinan terdapat penjualan air zam-zam tiruan ekoran ia semakin banyak di pasaran pada masa ini.

Menurut Jamil Khir lagi, kajian saintifik mendapati, air galian memang ada persamaan dengan air zam-zam tetapi bimbang persamaan itu digunakan untuk menipu pengguna. -kosmo



Air zam zam dicampur air kosong

Air zam-zam merupakan antara buah tangan istimewa yang sering dibawa pulang oleh jemaah haji sekembali daripada mengerjakan ibadah haji atau umrah di Mekah namun minuman itu semakin mudah diperoleh di Pulau Pinang sejak lima tahun lalu.

Air itu mudah didapati ekoran terdapat sebuah syarikat dikatakan telah diberi kebenaran untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai dan ia dijual beberapa peniaga seperti di bazar Jalan Penang, Lorong Kulit, Pasar Tun Sardon, Bayan Baru dan Bayan Lepas.

Bagaiamanapun, sejak kebelakangan ini timbul kebimbangan di kalangan orang ramai kemungkinan ada pihak menjual air zam zam tiruan iaitu yang dicampur dengan air kosong.

Terdapat banyak keraguan yang timbul apabila minuman tersebut diisi di dalam botol lut sinar bersaiz 250 mililiter tanpa tanda perniagaan, sebaliknya hanya menggunakan kertas kosong yang dicetak dengan dakwat komputer.

“Malah, jika diminum, air zam zam tersebut tidak mengeluarkan sebarang rasa berbanding yang asli akan berasa payau,” kata seorang pembeli, Zuraini Khadijah Abidin, 38.



Air Zam-Zam Tiruan


“AIR yang dikatakan air zam-zam itu dijual tanpa sebarang fakta pada botolnya. Yang ada hanyalah tulisan Air Zam-Zam berserta gambar Kaabah sahaja. Boleh percaya ke?” tanya seorang pengguna kepada BACARIA. Justeru, berdasarkan aduan pengguna ini terhadap penjualan air zam-zam yang meragukan, dijual semakin berleluasa dan kini boleh didapati dengan mudah, wartawan BACARIA, IZRA ABD RAHMAN DAN NOOR AZIANTY NORMAN telah membuat siasatan mengenai isu air zam-zam ini. Tulen atau tiruan? Turut menjadi persoalan adalah bolehkah air zam-zam ini dijual?

Pengguna keliru asli atau tiruan Air Zam-Zam pelbagai jenama

SHAH ALAM: Dahulu peluang minum air zam-zam hanya ada apabila saudaramara atau rakan taulan yang dijemput menjadi ‘tetamu’ Allah di Mekah membawanya pulang ke tanah air.

Namun kini, peluang untuk minum air paling berkhasiat di dunia ini semakin terbuka luas untuk sesiapa sahaja kerana ia boleh didapati dengan begitu mudah sekali.

Perkembangan ini mungkin menggembirakan mereka yang terdesak untuk mendapatkan air zam-zam ini untuk tujuan tertentu walaupun ada antaranya dijual dengan harga yang tak keterlaluan dikatakan sebagai ‘cekik darah’.

Namun, tak kurang juga pengguna yang merasa was-was akan keaslian, kesucian dan kebersihan air yang sememangnya suci ini memandangkan semakin banyak pihak yang berani meraih keuntungan dengan menjual air yang tinggi kandungan mineralnya ini.

BACARIA turut menerima beberapa aduan berhubung isu ini. Selepas tinjauan dibuat, memang jelas menunjukkan banyak air zamzam yang dijual dalam botol pelbagai bentuk dan saiz di premis tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Melihat air suci ini dijual begitu berleluasa di merata-rata tempat, maka ramailah yang terfikir apakah air zam-zam ini begitu mudah dibawa keluar dari Tanah Suci Mekah sehingga ia boleh diperdagangkan sesuka hati di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.

Malahan, sesetengah air zam-zam yang dijual terus meninggalkan misteri dan tanda tanya terutama bagi masyarakat Islam yang begitu teliti dan sensitif terhadap isu kepenggunaan dan keagamaan.

Lebih menimbulkan tanda tanya, apabila ada pengedar yang tergamak menjualnya pada harga yang amat tinggi sedangkan kuantitinya amat sedikit. Cara pembungkusannya pula terlalu ringkas, hanya tertera tulisan ‘Air Zam-Zam’ sambil dihiasi gambar Kaabah, itu pun cuma tinggal bumbungnya sahaja kerana gambarnya telah dipotong separuh.

Tidak tertera asal-usul dan ramuan air zam-zam pada botolnya, sudah tentu boleh dimaafkan kerana masyarakat Islam di seluruh dunia tahu bahawa ianya air mukjizat dari Allah untuk umat- Nya di seluruh dunia yang diberikan secara percuma.

Namun, jika nama syarikat dan alamat syarikat pengedar langsung tidak dicetak pada label dibotolnya, adakah ia dapat dimaafkan? Siapa dan pihak mana yang bertanggung jawab terhadap air yang diisytiharkan sebagai air zam-zam ini?

Hal inilah yang membuatkan timbul syak di hati pengguna, adakah air yang dilabelkan sebagai air zam-zam itu benar-benar air suci yang dibawa dari Tanah Suci Mekah? Jika benar, mengapa disembunyikan nama syarikat yang mengedarnya? Mungkin juga air yang kononnya dikatakan air zam-zam itu hanyalah air paip atau air mineral biasa kerana pengguna hanya dapat merasa dan memastikan ianya benar air zam-zam hanya selepas mereka membeli dan membayarnya.

Dan yang paling ditakuti sekali jika ada pihak tidak bertanggung jawab mempunyai muslihat tertentu.


Ulasan GB

Terkebil-kebil masing-masing membaca hal-hal barangan tiruan sehingga bahan makanan pun banyak yang tiruan.

Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam!

Jadilah rakyat dan pengguna yang bijak dan berilmu supaya tidak mudah terpedaya dan tertipu. Banyakkan membaca... membaca buku dan membaca alam....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...