Keghairahan segelintir masyarakat mempercayai keajaiban air rukyah atau
air jampi yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit, menjadi bijak,
mendapat jodoh mahupun naik pangkat wajar dipertimbangkan secara
rasional diri masing-masing.
Kebanjiran produk bermotifkan air jampi dilihat memenuhi pelbagai
premis termasuk farmasi, pasar raya, kios, butik serta individu sehingga
ia bukan lagi perkara asing, sebaliknya seakan-akan telah menjadi
sebahagian hidup sesetengah masyarakat.
Peniaga tempatan enggan dikenali, 63, berkata, air jampi antara produk
terlaris di kedainya di pasaran masa kini kerana dipercayai mampu
merealisasikan hasrat penggunanya.
“Jualan air jampi dapat sambutan hangat kalangan pembeli berikutan ia boleh didapatkan dengan harga serendah RM1 sahaja.
“Kebanyakan pembeli mengatakan mereka tidak perlu lagi bersusah payah
habiskan banyak wang, masa dan tenaga semata-mata ingin mendapatkan
rawatan bagi setengah penyakit," katanya semasa tinjauan Sinar Harian,
di sini.
Sementara itu, penduduk, Fauzi Zakaria, 55, berkata, penjualan produk
air jampi secara berleluasa menyebabkan imej orang beragama Islam
sedikit tercemar, ditambah apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab
yang menggunakan kanak-kanak untuk menjual produk itu.
"Jika pihak berkaitan ikhlas merawat, maka air jampi harus diberikan
cara ikhlas juga, sedangkan perubatan Islam kaedah terbukti baik, namun
kini berlaku pula penetapan harga pada produk itu," katanya.
Fauzi berkata, mendapatkan air jampi daripada individu tertentu bagi
merawat menggunakan perubatan Islam tidak bermasalah, namun apabila ia
dikomersialkan, keadaan menyebabkannya menjadi tidak ikhlas kerana
dirasakan ingin mengambil keuntungan.
Manakala, Muhammad Suhardi Mohd Ali, 38, berkata, air jampi berunsurkan
spiritual, maka ia tidak sepatutnya dikomersialkan kerana dikhuatiri
bakal menimbulkan salah faham terhadap orang yang mengamalkan agama
lain, selain daripada orang Islam sendiri.
Katanya, hanya fahaman akidah yang betul mampu menangani ketaasuban masyarakat terhadap air jampi ini.
"Sebarang perubatan yang digunakan, tidak kira sama ada berunsurkan
sains mahupun spiritual (air jampi) keyakinan bahawa ia mampu merawat
pelbagai penyakit haruslah terletak pada ALLAH dan bukannya mempercayai
manusia ataupun ubat” katanya.
Katanya, tanggapan ini salah jadi jika seseorang itu kurang fahaman,
maka secara tidak langsung akidah pihak berkenaan telah songsang dari
landasan agama yang sebenar.
Suhardi berkata, jika pihak berkaitan telah meneliti dan menemui bahawa
produk ini mendatangkan kemudaratan, seperti harganya tidak munasabah
dan tidak bersepadan dengan saiznya, maka mereka perlu membanteras
keadaan ini terus berleluasa.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menasihatkan agar air
jampi tidak dikomersialkan berikutan kerisauan ia meninggalkan tanggapan
tertentu terhadap kaedah perubatan Islam bagi sesetengah pihak.
Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan kriteria penjualan air jampi
haruslah berdasarkan satu garis panduan dan peraturan yang perlu
dipatuhi semua terlibat
No comments:
Post a Comment