Wednesday, January 28, 2009

Air Zamzam untuk Kesihatan & Keberkatan




Air Zamzam adalah air yang paling agung yang diciptakan oleh Allah swt untuk manusia. Antara kelebihan air Zamzam bagaimana air yang berada di perigi yang kecil boleh menampung kegunaan jutaan manusia yang datang ke tanah suci Mekah dan boleh pula membawa pulang air tersebut ke negara masing-masing.
Inilah satu keajaiban dan kekuasaan Allah swt. Betapa hebatnya kuasa Allah swt. Air Zamzam mempunyai keberkatan, kelebihan dan keistimewaan yang banyak serta tersendiri yang tidak terdapat pada air-air yang lain. Antara hadis yang menyebut akan kelebihannya ialah:

1. Air Zamzam adalah air yang terbaik di muka bumi dan boleh menyembuh segala penyakit. Sabda Nabi saw:
خير الماء على وجه الأرض ماء زمزم , وفيه طعام من الطعام وشفاء من السقم.( رواه الفاكهي والطبراني.)

Maksudnya : Sebaik-baik air yang ada di muka bumi ialah air zamzam. Terdapat di dalamnya zat makanan ( yang meminumnya akan merasa kenyang seperti memakan makanan) dan penyembuh daripada penyakit.

2. Air Zamzam diberkati dan mengenyangkan

Abu Zar (Jundun bin Junaidah) al-Ghifari telah menceritakan mengenai kedatangannya ke Mekah sehingga bertemu dengan Rasulullah saw dan memeluk Islam. Menurut beliau setelah bertemu dengan Rasulullah saw baginda bertanya kepadanya : Sejak bila kamu berada di sini? Jawabnya Semenjak 30 hari yang lalu. Rasulullah saw bertanya lagi “ Siapa yang memberi kamu makanan”. Jawab Abu Zar : Saya tidak mempunyai makanan dan saya hanya meminum air Zamzam sahaja.Tetapi saya merasa semakin gemuk dan tidak pernah lapar. Sabda Rasulullah saw : sesungguhnya Zamzam merupakan yang diberkati. Sesungguhnya ia mengandungi zat makanan ( orang yang meminumnya akan merasa kenyang seperti memakan makanan.)

3.Air Zamzam menyempurnakan hajat

Sabda Nabi saw :
ماء زمزم لما شرب له( رواه ابن ماجة و أحمد)
Maksudnya: Air Zamzam itu untuk sebarang tujuan (niat) orang yang meminumnya.
4. Sunat berbuka puasa dengan air Zamzam kerana ianya mempunyai banyak kebaikan dan keberkatan.(Fadail Maul Zamzam m/s 132)

5. Air Zamzam boleh menambah kebijaksanaan dan kecerdikan peminum berdasarkan hadis di atas.

6. Keharusan berwuduk dan mandi dengan air Zamzam kerana Rasulullah saw berwuduk dan minum dengannya (riwayat Ahmad)

7. Air Zamzam boleh menyembuhkan segala penyakit seperti demam panas, selsema, sakit mata, kencing manis, darah tinggi dan semua jenis penyakit bagi yang meminumnya.

ADAB MEMINUMNYA

Para Ulama menggariskan beberapa adab yang patut diikuti ketika minum air Zamzam di antara adabnya:
1. Mengadap kiblat
2. Boleh berdiri atau duduk kerana ada hadis menyuruh untuk kedua cara tersebut.
3. Berniat sebelum meminumnya dengan niat apa yang kita mahu kerana Allah swt memperkenankan niat bagi peminumnya.
4. Minum dengan tiga nafas iaitu dengan tiga teguk.
5. Membaca “Bismillah setiap kali meminumnya.
6. Memuji Allah dengan menyebut“Alhamdulillah” pada setiap nafas.
7. Minum dengan tangan kanan.
8. Berdoa setelah selesai minum. Bacalah dengan doa :

اللّهُمَّ إِنَّ نَسْأَلُكَ عِلْماً ناَفِعاً وَرِزْقاً وَسِِعاً وَشِفاَءً مِنْ كُلِّ داَءٍ.
(Allahumma inna nas’aluka ‘ilman naafi’an wa rizqan wasi’an wa shifa’an min kulli daa’.)

Maksudnya:Ya Allah ya Tuhanku! Aku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit. (Diriwayatkan oleh ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...